Members Login
Username 
 
Password 
    Remember Me  
Post Info TOPIC: adab berbuka puasa ikut sunnah nabi--penting!


Member

Status: Offline
Posts: 24
Date:
adab berbuka puasa ikut sunnah nabi--penting!


Oleh DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN


ADAB-adab berhubung ibadat mestilah merujuk kepada aja ran yang
ditunjuk oleh Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w., iaitu al-Quran dan
sunah. Ada sebahagian pihak yang cenderung mencipta adab-adab ibadah
tanpa merujuk kepada dua sumber agung itu, misalnya dakwaan yang
menyatakan makruh mandi terlalu kerap, atau mandi pada hampir waktu
berbuka kerana ia boleh mengurangkan keletihan dan sekali gus
menghilangkan kelebihan puasa.

Sedangkan di dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Malik di
dalam al-Mawata', Ahmad dan Abu Daud di dalam sunannya, Abu Bakar bin
Abd al-Rahman meriwayatkan: "Telah berkata sahabat yang menceritakan
kepadaku: "Aku melihat Rasulullah s.a.w. di al-`Arj (nama tempat)
mencurahkan air ke atas kepala Baginda ketika Baginda berpuasa
disebabkan dahaga atau panas."

Dengan itu Ibn Qudamah al-Maqdisi (meninggal 620H) menyatakan: "Tidak
mengapa seseorang mencurahkan air ke atas kepalanya (ketika puasa)
disebabkan panas atau dahaga kerana diriwayatkan oleh sebahagian
sahabat bahawa mereka melihat Rasulullah s.a.w. di al-`Arj (nama
tempat) mencurahkan air ke atas kepala Baginda ketika Baginda berpuasa
disebabkan dahaga atau panas." (Ibn Qudamah al-Maqdisi, al-Mughni,
2/18, cetakan Dar al-Fikr, Beirut).

Yang penting di dalam bulan Ramadan ini adalah adab-adab yang kita
kaitkan dengan ibadah puasa mestilah mempunyai asas yang boleh
dipegang, iaitu al-Quran atau sunah. Antara adab-adab berbuka puasa
yang dinyatakan di dalam hadis:

1. Menyegerakan berbuka apabila masuknya waktu atau disebut ta'jil
al-Iftar. Ini berdasarkan hadis-hadis yang menyebut perkara ini,
antaranya: Daripada Sahl bin Sa`ad bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
Manusia sentiasa dalam kebaikan selagi mereka menyegerakan berbuka
puasa. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Hadis ini menerangkan punca kebaikan di dalam agama ialah mengikut
sunah Nabi s.a.w., iaitu Baginda menyegerakan berbuka puasa. Ini
menolak dakwaan ajaran-ajaran karut yang kononnya melewatkan berbuka
menambah pahala. Kata at-Tibi (meninggal 743H): "Barangkali sebab
Allah menyukai mereka yang bersegera membuka puasa, ialah kerana
apabila seseorang berbuka puasa sebelum solat, membolehkannya
menunaikan solat dengan dihadirkan hati. Juga ia menyanggahi ahli
bidaah yang berpendapat wajib melewatkannya. (at-Tibi, Syarh Miskhat
al-Masabih, 4/183, cetakan Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Berut).

2. Berbuka puasa dengan rutab, atau tamar atau air. Rutab ialah buah
kurma yang telah masak sebelum menjadi tamar kering, ia lembut dan
manis. Adapun tamar ialah buah kurma yang sudah kering. (lihat:
al-Mu'jam al-Wasit 1/88). Sekarang di negara kita rutab sudah mula
dikenali. Ia kurma yang masak dan masih lagi belum kering dan
mengecut. Apabila ia mengecut dipanggil tamar. Di dalam hadis daripada
Anas katanya: Bahawa Rasulullah s.a.w. berbuka puasa dengan beberapa
biji rutab sebelum bersolat. Sekiranya tiada rutab, maka dengan
beberapa biji tamar, dan sekiranya tiada tamar, maka Baginda minum
beberapa teguk air. (Riwayat Imam Ahamd dan Tirmizi, katanya hadis ini
hasan) Al-Diya al-Maqdisi (meninggal 643H) telah mensahihkan hadis
ini. (lihat: al-Ahadith al-Mukhtarah, 4/411 cetakan: Maktabah
al-Nahdah al-Hadithah, Mekah).

Inilah tertib yang dilakukan oleh Baginda, pilihan pertama ialah
rutab, jika tiada tamar dan jika tiada air. Kata al-Mubarakfuri
(meninggal 1353H): Hadis ini menjadi dalil disunatkan berbuka puasa
dengan rutab, sekiranya tiada, maka dengan tamar, dan sekiranya tiada,
maka dengan air. Adapun pendapat yang menyatakan di Mekah disunatkan
didahulukan air zam-zam sebelum tamar, atau mencampurkan tamar dengan
air zam-zam adalah ditolak. Ini kerana ia menyanggahi sunah. Adapun
Nabi telah berpuasa (di Mekah) banyak hari pada tahun pembukaan kota
Mekah, namun tidak pernah diriwayatkan baginda menyalahi adat
kebiasaannya mendahulukan tamar sebelum air. (al-Mubarakfuri, Tuhfah
al-Ahwazi, 3/311, cetakan Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Beirut). Di
samping itu, dakwaan jika tiada tamar, maka dengan buah-buahan yang
lain juga tiada sebarang dalil daripada sunah Nabi s.a.w.

3. Menyegerakan solat Maghrib selepas berbuka dengan tamar atau air,
sekiranya makanan belum dihidangkan. Hadis yang kita nyatakan di atas
menunjukkan Baginda Nabi s.a.w. berbuka dengan rutab atau tamar atau
air sebelum bersolat Maghrib. Maka kita disunatkan juga mengikuti
langkah tersebut, iaitu selepas berbuka dengan perkara-perkara tadi,
lantas terus menunaikan solat. Ini sekiranya makanan belum
dihidangkan. Adapun sekiranya makanan telah dihidangkan di depan mata,
maka dimakruhkan meninggalkan makanan untuk menunaikan solat. Ini
berdasarkan apa yang dinyatakan dalam hadis-hadis baginda Nabi s.a.w.
antaranya: Daripada Anas bin Malik r.a.: Bahawa Rasulullah s.a.w.
bersabda: Apabila telah dihidangkan makan malam, maka mulakanlah ia
sebelum kamu menunaikan solat Maghrib, dan jangan kamu tergopoh-gapah
ketika makan malam kamu. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Dalam hadis yang lain daripada Abdullah bin Umar, Baginda s.a.w.
bersabda: Apabila dihidangkan makan malam seseorang kamu, sedangkan
solat (jamaah) telah didirikan, maka mulailah dengan makan malam.
Janganlah dia tergopoh-gapah sehinggalah dia selesa. (Riwayat Bukhari
dan Muslim).

Riwayat di atas juga menambah: Bahawa Ibn Umar r.a. apabila
dihidangkan untuknya makanan, manakala solat pula sedang didirikan,
maka beliau tidak mendatangi solat melainkan hingga beliau selesai
makan, sedangkan beliau mendengar bacaan imam. Ini kerana meninggalkan
makanan dalam keadaan keinginan yang kuat untuk menjamahnya atau dalam
perasaan lapar, boleh menghilangkan khusyuk di dalam solat, disebabkan
ingatan terhadap makanan tersebut. Dengan itu para ulama menyatakan
dimakruhkan solat setelah makanan terhidang di hadapan mata. Kata
an-Nawawi (meninggal 676H): Di dalam hadis-hadis tersebut dimakruhkan
solat apabila terhidangnya makanan yang hendak dimakan kerana ia boleh
mengganggu hati dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk. (An-Nawawi,
Syarh Sahih Muslim, 4/208, cetakan: Dar al-Khair, Beirut).

Sebenarnya bukan pada makan malam atau solat Maghrib sahaja kita
disunatkan mendahulukan makanan yang dihidang sebelum solat, bahkan
sunah ini meliputi semua solat dan waktu makan kerana dibimbangi
menghilangkan khusyuk. Ini sekiranya makanan telah terhidang di depan
mata. Al-Munawi (meninggal 1031H) pula menyebut: "Hadis tersebut
menyatakan hendaklah didahulukan makan malam sebelum solat Maghrib.
Namun ia juga dipraktikkan juga pada solat-solat yang lain. Ini kerana
punca arahan ini ialah bimbang hilangnya khusyuk. (al-Munawi, Faidh
al-Qadir, 1/295, cetakan: al-Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, Mesir).

Malangnya ada di kalangan yang kurang faham, lalu mereka menyatakan
bahawa kalau azan sudah berkumandang, hidangan dan makanan hendaklah
ditinggalkan demi mengutamakan solat jemaah. Inilah kedangkalan
meneliti hadis-hadis Nabi s.a.w., lalu mengandaikan agama dengan emosi
sendiri.

Adapun sekiranya makanan belum terhidang atau perasaan keinginan
terhadap makanan tiada, maka tidaklah dimakruhkan untuk terus solat.
Ini bukanlah bererti kita disuruh mementingkan makanan melebihi solat,
sebaliknya tujuan arahan Nabi s.a.w. ini ialah untuk memastikan
kesempurnaan solat. Al-Imam Ibn Hajar al-`Asqalani (meninggal 852H)
memetik ungkapan Ibn Jauzi (meninggal 597H): "Ada orang menyangka
bahawa mendahulukan makanan sebelum solat adalah bab mendahulukan hak
hamba ke atas hak Tuhan. Sebenarnya bukan demikian, tetapi ini adalah
menjaga hak Allah agar makhluk masuk ke dalam ibadahnya dengan penuh
tumpuan. Sesungguhnya makanan mereka (para sahabat) adalah sedikit dan
tidak memutuskan mereka daripada mengikuti solat jemaah. (Ibn Hajar
al-`Asqalani, Fath al-Bari, 2/385, cetakan: dar al-Fikr, Beirut).

4. Makan dengan kadar yang tidak berlebihan ketika berbuka. Ini
bertepatan dengan firman Allah s.w.t. maksudnya: Dan makan dan
minumlah kamu, dan jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Dia tidak
suka orang yang berlebih-lebihan. (Surah al-`Araf:31).

Di dalam hadis Baginda s.a.w. menyebut: Anak Adam itu tidak memenuhi
suatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak
Adam itu beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya
(memberikan kekuatan kepadanya). Sekiranya tidak dapat, maka satu
pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga
untuk pernafasan. (Riwayat Tirmizi, katanya: hadis ini hasan sahih.
Al-Hafiz Ibn Hajar al-`Asqalani dalam Fath al-Bari menyatakan hadis
ini hasan).

Hadis ini salah difahami oleh sesetengah pihak, lalu mereka menyangka
Nabi s.a.w. menyuruh umatnya jika makan, hendaklah satu pertiga untuk
makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan.
Sebenarnya jika kita teliti hadis ini bukan demikian, pembahagian
tersebut ialah had maksimum. Kalau boleh kurang daripada itu. Sebab
itu Baginda menyebut jika tidak dapat, maka tidak melebihi pembahagian
tadi. Namun yang lebih utama digalakkan sekadar yang dapat memberi tenaga.

5. Berdoa ketika berbuka. Ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w.:
Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu, doa yang tidak ditolak ketika
dia berbuka. (Riwayat Ibn Majah, sanadnya pada nilaian hasan dan ke
atas. Ishaq bin 'Abd Allah al-Madani dithiqahkan oleh Abu Zur'ah dan
disebut saduq oleh al-Zahabi dalam al-Kasyif ).

Maka kita boleh berdoa dengan apa sahaja doa yang kita hajati. Doa
orang berpuasa makbul disebabkan jiwa yang telah dibersihkan daripada
kotoran dosa dan syahwat. Justeru itu al-Munawi menyebut: ''Hadis di
atas hanya untuk sesiapa yang telah menunaikan tanggungjawab puasa
dengan menjaga lidah, hati dan anggota." (Faidh al-Qadir, 2/500).

Di sana ada doa yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w. ketika berbuka dan
disunatkan kita membacanya: "Adalah Rasulullah s.a.w. apabila berbuka,
Baginda bersabda: Telah hilanglah dahaga, telah basahlah peluh (hilang
kekeringan) dan telah tetaplah pahala, insya-Allah. (Riwayat Abu Daud,
sanadnya hasan)

Namun setiap orang yang menunaikan puasa dengan sepenuhnya, hendaklah
merebut peluang doa yang makbul ketika dia berbuka.

6. Berdoa kepada sesiapa yang menjamu kita berbuka, kata Anas r.a.:
"Baginda s.a.w. pernah datang kepada (rumah) Saad bin Ubadah. Dia
menghidangkan roti dan minyak. Baginda pun makan dan bersabda: Telah
berbuka puasa di sisi kamu mereka yang berpuasa, telah makan makanan
kamu mereka yang baik dan telah berselawat ke atas kamu para malaikat.
(Riwayat Abu Daud, Diya al-Maqdisi dalam Al-Ahadith al-Mukhtarah
menyatakan ia sahih 5/158). Maka berdoalah kepada mereka yang menjamu
kita berbuka puasa. Ini adab yang sangat baik.

Demikian senarai adab-adab yang terkandung di dalam sunah Nabi s.a.w. ketika berpuasa. Semoga pengamalan adab-adab ini menambahkan lagi pahala puasa kita.



__________________
If Allah is All u have..u have it All!
Page 1 of 1  sorted by
 
Quick Reply

Please log in to post quick replies.

Tweet this page Post to Digg Post to Del.icio.us


Create your own FREE Forum
Report Abuse
Powered by ActiveBoard