Members Login
Username 
 
Password 
    Remember Me  
Post Info TOPIC: khutbah jumaat masjid lesu?


Member

Status: Offline
Posts: 24
Date:
khutbah jumaat masjid lesu?


An article worth reading...we need rijaal!!!


Hari ini, serangan terhadap Islam menerusi ucapan, tulisan dan
tindakan begitu banyak sekali. Gejala yang memusnahkan muda-mudi dan
umat keseluruhannya begitu aktif bergerak. Mereka ini dibantu oleh
media yang berbagai. Luar dan dalam negara. Paparan-paparan isu yang
dilambung oleh media untuk dijadikan perbahasan atau tarikan begitu
hebat dan menarik. Ramai yang terfitnah dan tertarik dengannya.
Lihat sahaja iklan-iklan yang menghebahkan siaran-siaran hiburan
yang merugikan umat. Hebat dan menarik hati kebanyakan muda-mudi.

Ramai yang cintakan Islam mengeluh; macamana boleh diatasi perkara
ini?!!. Kata mereka: "Kita tidak ada media yang kuat dan berpengaruh
untuk membuat penerangan balas yang menarik dan dapat didengar oleh
muda-mudi". Kuliah di masjid? , kata mereka: "Mana ada muda-mudi
yang mahu dengar sangat kuliah-kuliah di masjid?!!".

Saya katakan, ini kurang tepat. Saya banyak juga beri kuliah di
masjid-masjid. Saya lihat sambutan golongan muda begitu baik. Bahkan
jumlah mereka kebiasaannya melebihi golongan berumur. Mereka begitu
tekun dan bersemangat. Soalan-soalan mereka dalam kuliah
juga `canggih-canggih'. Soalan-soalan itu biasanya mewakili cara
fikir generasi baru dan menggambarkan keluasan pembacaan dan
pengetahuan mereka tentang berbagai fakta. Saya rasa sangat dekat
dengan mereka. Mungkin kerana umur saya yang hampir sebaya dengan
mereka, atau kerana berbicara dengan bahasa yang mewakili generasi
kini dan kehidupan hari ini, Alhamduli Allah. Tiada sebarang
kelebihan pada saya. Cuma saya ada hasrat ingin berjalan menuju
hidayah bersama mereka. Mereka mengingatkan saya apa yang tersilap
dan tersalah dan demikian sebaliknya. Saya mungkin sedikit sebanyak
memahami dalil, tetapi belum tentu betul-betul memahami realiti
semasa. Mereka datang dari berbagai latarbelakang dan bidang.
Mungkin mereka lebih memahami apa yang saya tidak faham. Mereka
membantu saya di sudut itu. Saya wajar bertanya khabar dari mereka.
Ini kerana hujah dan dalil syarak kadang-kala wajar diambil kira
percaturan semasa. Agar Islam dapat menyelesaikan kekusutan hari
ini.
Justeru itu, saya ingin mengajak agar kuliah-kuliah agama hendaklah
bersifat ilmiah dan menghuraikan keperluan semasa. Wajarkah kita
yang memberi kuliah untuk generasi yang serba canggih ini dengan
cerita-cerita kartun tentang wali-wali yang kebanyakannya karut dan
khurafat, isu-isu yang tidak wujud di zaman ini dan menggunakan pula
bahasa melayu lama sanskrit seperti yang digunakan dalam bahasa jawi
lama??!!. Generasi muda bukan menolak agama, tetapi menolak
pendekatan yang digunakan lalu melarikan diri. Bahkan ada pengajian
di masjid yang berbau khurafat dan fiqh yang membebankan.

Apa yang ingin saya fokuskan dalam tulisan ini ialah, sebenarnya
kita masih mempunyai saluran yang sangat kuat dan berpengaruh jika
digunakan dengan baik. Saluran itu ialah Khutbah Jumaat. Khutbah
Jumaat adalah suatu kesempatan yang baik. Ada orang yang tidak solat
lima waktu, tetapi hadir juga solat Jumaat. Mungkin malu kepada
kawan-kawan. Apabila mereka hadir solat Jumaat, mahu tidak mahu
mereka terpaksa dengar khutbah. Dengan itu, Khutbah Jumaat didengari
oleh kebanyakan orang. Kaki mengaji, bukan kaki mengaji, yang rajin
bersolat, yang solat `celup-celup' dan kaki ponteng solat turut
mendengarnya. Khutbah Jumaat adalah saluran utama yang dengannya
boleh disampaikan banyak perkara.

Malangnya, banyak khutbah di Malaysia yang tidak berkualiti, hambar
dan tidak menyentuh keperluan umat. Di sesetengah negeri, semua
masjidnya membaca khutbah yang sama. Khutbah-khutbah itu telah siap
disediakan oleh pihak-pihak yang berkenaan. Khatib-khatib
bagaikan `VCD player' yang memainkan semula perkara yang sudah siap
tanpa sebarang penambahan. Jika ada bunyian tambahan, ia dianggap
rosak dan `pihak berkenaan' akan datang baiki, atau tukar yang baru.
Macam juga inti khutbah yang disediakan. Jika ditambah dianggap
salah. Jika dibuat yang baru, lebih dianggap salah kerana cuba
menyaingi pasaran. Maka khatib tidak dapat menegur dan mengulas isu
tempatan, padahal ia perlu diingatkan jamaah di sekitarnya.

Jika inti khutbah itu menyentuh keperluan umat tidak mengapa. Apa
yang mendukacitakan apabila ia terbabas dari keperluan umat.
Sedangkan waktu tersebut adalah peluang terbesar untuk membaiki
umat, khususnya muda-mudi. Apa tidaknya, di sebuah negeri, ketika
umat Iraq dibom secara ganas dan dunia membantah kekejaman Amerika,
khutbah yang dibaca pada Jumaat tersebut mengenai `tanggungjawab
terhadap warga emas'. Ketika kemarahan umat Islam membuak-buak dalam
isu pembunuhan Ahmad Yasin, khutbah membicarakan tentang fadilat-
fadilat tertentu yang disokong oleh hadith-hadith palsu. Seketika
khutbah Jumaat di sebuah negeri membicarakan tentang `tanggungjawab
menjaga kebersihan sungai'. Lebih menarik, oleh kerana khutbah
diselaraskan, di kawasan industri dibaca mengenai `tanggungjawab
tanaman padi'. Sedangkan masalah umat bertimbun. Jiwa mereka yang
lemah perlu dibangunkan. Semangat dakwah kepada Islam perlu
dihidupkan. Isu-isu semasa umat Islam seperti Palestin, Iraq, bahaya
Islam Liberal, hiburan tanpa sempadan, media yang merosakkan dan
berbagai-bagai lagi perlu diperkatakan. Tidakkah mereka pernah
mendengar hadith RasululLah s.a.w yang diriwayatkan dalam Sahih
Muslim dalam Kitab al-Jumu`ah daripada Jabir bin `Abd
Allah: "RasululLah itu ketika berkhutbah merah kedua matanya, tinggi
suaranya, tegas marahnya seakan dia memberi amaran kepada suatu
pasukan tentera".

Khutbah mesti dibaca dengan semangat yang bersesuaian dengan inti
kandungan khutbah. Jika tidak, khutbah menjadi waktu `rehat sambil
duduk' untuk melelapkan mata sementara menunggu iqamah. Apatah lagi
waktu itu memang sedap kalau mahu tidur. Dengan khutbah yang tidak
bernas dan tidak bermaya itu, maka para hadirin Jumaat
bagaikan `orang mengantuk disurungkan bantal'. Khutbah yang longlai
itu bagaikan bantal empuk untuk tidur sekejap menunggu solat. Inilah
yang banyak berlaku sekarang. Golongan muda, bahkan orang berumur
pun kurang memberi perhatian kepada isi khutbah yang ada. Ini kerana
isinya yang tidak menarik perhatian pendengar dan kurang menyentuh
keperluan umat. Ditambah dengan sesetengah masjid suara khatibnya
pun antara tenggelam dan timbul. Lebih buruk lagi, ada yang tergagap-
gagap dengan berbagai kesalahan bacaan.

Saya kadang-kala membayangkan `mungkin penulis-penulis khutbah ini
berada di suatu kawasan pergunungan yang terputus hubungan dengan
umat, lalu diperintahkan pula mereka menulis khutbah. Dari sana
mereka mengirimkan kepada sesiapa yang turun ke bawah untuk diposkan
ke pejabat yang memerlukan khutbah-khutbah itu. Dengan pos biasa,
barang kali sebulan kemudian khutbah itupun sampai. Pegawai yang
asyik membaca akhbar dan minum kopi bersama kawan sehingga banyak
kes talak tertangguh, membukanya lima hari kemudian. Untuk ditaip
dan disampaikan ke masjid-masjid, barangkali mengambil masa lagi
sebulan. Kalau pun ada sedikit isi khutbah yang menyentuh umat
melalui khabar yang dibawa oleh angin ke gunung, barangkali yang
sedikit itu sudah luput tarikhnya..

Saban minggu kita telah menghilangkan peluang keemasan membentuk
remaja, golongan muda dan umat keseluruhannya. Secara tidak langsung
kita membunuh fungsi masjid. Ketika menafsirkan firman Allah dalam
Surah al-Baqarah ayat 114: (bermaksud) "Dan siapakah yang lebih
zalim daripada orang-orang yang menghalangi masjid-masjid Allah
untuk disebut nama Allah di dalamnya, dan ia berusaha pula untuk
meruntuhkan masjid-masjid itu? Orang-orang yang demikian, tidak
sepatutnya masuk ke dalam masjid-masjid itu melainkan dalam keadaan
orang yang takutkan Allah. Mereka (dengan perbuatan itu) akan
beroleh kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka mendapat azab
seksa yang amat besar", al-Qadhi Abu Bakr Ibn al-`Arabi dalam
tafsirnya, Ahkam al-Quran : "Merobohkan masjid ialah menghilangkan
fungsinya dan menghalang muslimin untuk melahirkan syiar dan
kesatuan pendirian mereka" (jld. 1, m.s. 51).

Kata al-Imam as-Syaukani dalam Fath al-Qadir pula: "Yang dimaksudkan
dengan menghalang masjid-masjid Allah untuk disebut nama Allah
dalamnya ialah menghalang sesiapa mendatanginya untuk solat,
tilawah, zikir dan pengajian. Sementara maksud berusaha
merobohkannya ialah berusaha untuk membinasakannya dan merosakkan
bangunannya. Ia boleh juga membawa maksud mematikan fungsinya
berkaitan ketaatan kepada Allah yang ditetapkan untuknya...ia juga
merangkumi setiap perkara yang menghalang tujuan pembinaan masjid,
seperti mempelajari ilmu dan mengajarkannya, duduk iktikaf dan
menunggu solat" (jld 1, m.s. 144, Beirut: Dar Khair).

Kita memang tidak merobohkan tiang masjid. Tidak juga merosakkan
bangunannya. Namun cara kita menguruskan masjid menjadikan masjid
tidak berfungsi sepenuhnya, lesu, dan tidak dicintai oleh generasi
baru, bahkan generasi tua juga. Masjid akhirnya, ada yang hanya jadi
sekadar kelab orang pencen berkumpul selepas maghrib. Lebih `hodoh'
ada masjid yang menyediakan bekas rokok untuk `perokok-perokok
masjid' merokok di kaki lima masjid, atau `balai menunggu' masjid
sementara menanti iqamat. Jika semua `tempat-tempat terhormat'
seperti pejabat kerajaan, airport dan lain-lain tidak diizinkan
merokok, apakah masjid lebih rendah nilainya dari semua tempat-
tempat itu sehingga boleh dihisap `benda haram' tersebut dalam
kawasannya?!! Begitulah jadinya jika yang menguruskannya bukan
mereka yang benar-benar fungsi. Generasi muda makin menjauhkan diri.
Allah berfirman dalam Surah al-Taubah, ayat 18: (bermaksud) "Hanya
yang layak memakmurkan masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang
yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan solat,
menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan
adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka
menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk".

Di dalam Al-Zilal disebut: "Dinyatakan mengenai ketakutan hanya
kepada Allah semata tiada pada yang lain, selepas syarat iman yang
batin dan amal yang zahir, bukanlah sekadar galakan. Sebaliknya,
mestilah hanya menyerah diri kepada Allah semata. Mestilah
melepaskan dari segala bayangan syirik dalam perasaan dan perbuatan.
Takut selain dari Allah adalah sejenis syirik khafi (tersembunyi)
yang di sini diperingatkan oleh nas demi menjadikan iktikad dan amal
semua untuk Allah, ketika itu layaklah orang mukminin memakmurkan
masjid-masjid Allah" (jld. 3 m.s 1614, Mesir, Dar as-Syuruq). Dalam
al-Tafsir al-Munir pula disebut: "Tidak takut dalam perkataan dan
perbuatannya selain Allah sahaja, tidak selainnya sama ada berhala
dan para pembesar yang pada hakikatnya tidak memberi manfaat dan
mudarat. Sesungguhnya manfaat dan mudarat itu hanya di tangan Allah"
(jld 10, m.s. 128, cetakan Dar al-Fikr, Beirut ).

Pengurusan masjid yang takutkan Allah akan menghidupkan fungsi
sebenar masjid. Al-syeikh Dr. Mustafa as-Siba`i dalam kitabnya
menyebut pembinaan Masjid Nabawi serta fungsi masjid dengan
katanya: "Apabila Rasulullah s.a.w. sampai ke Madinah, maka kerjanya
yang pertama ialah membina padanya masjid. Ini menunjukkan
kepentingan masjid di dalam Islam …apatah lagi bagi masjid itu mesej
kemasyarakatan dan keruhanian yang besar kedudukan dalam kehidupan
muslimin. Masjidlah yang menyatupadukan mereka, mendidik jiwa,
menyedarkan hati dan akal, menyelesaikan masalah dan di masjidlah
dizahirkan kekuatan dan prinsip mereka. Sejarah masjid di dalam
Islam telah membuktikan bahawa daripada masjid bergeraknya tentera
Islam memenuhi bumi dengan hidayah Allah. Daripada masjid juga
diutuskan obor cahaya dan hidayah untuk muslimin dan selain mereka.
Pada masjidlah bermula subur dan berkembangnya benih ketamadunan
Islam. Tidaklah Abu Bakr, `Umar, Uthman, `Ali, Khalid, Sa`ad, Abu
`Ubaidah dan seumpama mereka yang merupakan tokoh-tokoh agung
sejarah Islam melainkan para penuntut di madrasah Muhammadiyyah
(sekolah Rasulullah s.a.w). yang bertempat di Masjid Nabawi.
Keistimewaan lain bagi masjid di dalam Islam ialah setiap minggu
dilaungkan kalimat yang benar menerusi lidah khatibnya, padanya
dibantahi kemunkaran dan diseru yang makruf, atau seruan kepada
kebaikan, atau mengingatkan yang lalai, atau dakwah kepada kesatuan,
atau bantahan terhadap yang zalim dan amaran kepada yang thaghut…
Jadikanlah masjid kembali sebagai tempat utama dalam semua institusi
kemasyarakatan kita, jadikanlah masjid kembali memainkan peranannya
dalam mentarbiah manusia, melahirkan tokoh, membaiki kerosakan
masyarakat, memerangi kemunkaran dan membina masyarakat atas asas
taqwa dan keredhaan Allah" (Al-sirah an-Nabawiyyah: Durus wa `Ibar,
m.s. 74-75 Jordan, al-Maktab al-Islami).

Kata al-Syeikh Muhammad Muhammad Abu Syahbah: "Demikian itu Masjid
Nabawi (di zaman Rasulullah s.a.w.), ia telah memberikan khidmat
agama, ilmu, kemasyarakatan dan politik. Maka hendaklah diingati
tentang kedudukan masjid di dalam Islam seperti mana yang kami
sebutkan" (Abu Syahbah, al-sirah al-Nabawiyyah fi Dau al-Quran wa al-
sunnah, jld 2, m.s. 3, Damsyik, Dar al-Qalam).

Dr. `Imad ad-Din Khalil dalam karyanya Dirasah fi al-sirah ketika
mengulas tentang fungsi masjid yang di asaskan oleh Rasulullah
s.a.w.: "Masjid bukannya tempat ibadat dan solat semata-mata,
bahkan kedudukannya sama seperti kedudukan Islam itu sendiri,
mencukupi dalam berbagai sudut al-din, politik dan kemasyarakatan" (
Dirasah fi al-sirah m.s. 149 Beirut: Dar an-Nafais).

Begitulah sepatutnya masjid berfungsi. Begitu sepatutnya khutbah
Jumaat berperanan. Demi kebaikan umat Islam, khutbah Jumaat dan
masjid hendaklah kembali kepada fungsinya. Jika tidak, generasi baru
akan lebih gemar ke tempat hiburan yang terlarang yang seluruh
fungsi kemaksiatan dihidupkan, dari menuju ke masjid-masjid Allah
yang dibunuh sebahagian fungsi ketakwaannya.

Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin


__________________
If Allah is All u have..u have it All!
Page 1 of 1  sorted by
 
Quick Reply

Please log in to post quick replies.

Tweet this page Post to Digg Post to Del.icio.us


Create your own FREE Forum
Report Abuse
Powered by ActiveBoard