DENGAN semangat untuk melahirkan sukarelawan muda yang mencabar dan tahan lasak, Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah mengorak langkah menghantar seorang sukarelawan muda ke Hobart, Tasmania sebuah wilayah di selatan Australia. Sukarelawan muda yang dimaksudkan ialah Noryzal Zainal Abidin.
Tujuan beliau ke sana adalah untuk membantu kerja-kerja khidmat sosial dan dakwah di sana, bagi memastikan Nur Islam dan rahmat Allah tersebar ke serata pelosok alam maya ini tidak terkecuali Hobart.
Usaha pemergian beliau ke sana mendapat kerjasama padu daripada Global Peace Mission (GPM) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).
Selain itu, program ini dalam kerangka untuk mendedahkan sukarelawan muda ke dunia luar yang lebih mencabar, menimba ilmu dan pengalaman serta memberikan peluang berkhidmat untuk masyarakat luar negara.
Noryzal mendapat bimbingan secara langsung daripada Presiden ABIM sendiri, Ahmad Azam Abdul Rahman dan daripada Regional Islamic Da'wah Council of Southeast Asia and the Pacific (RISEAP).
Noryzal merupakan graduan jurusan ekonomi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) tahun 2003. Beliau yang merupakan anak jati Johor Bahru, masih bujang dan baru sahaja mencecah umur 25 tahun pada bulan Januari lepas.
Semasa di alam universiti dahulu, beliau amat aktif dengan program-program khidmat sosial dan kemasyarakatan.
Sebelum berkhidmat di Hobart, beliau pernah berkhidmat sebagai imam dan aktivis sosial di Pulau Krismas, Australia selama setahun.
Di Hobart, beliau memegang Visa Penduduk Sementara yang membenarkan beliau tinggal lama untuk berkhidmat di sana.
Beliau bertindak menjadi imam masjid, membantu kerja-kerja landskap masjid yang baru dibina di sana, di samping membuka kelas penghayatan agama kepada masyarakat Islam di sana.
Bermula dengan hanya sembilan orang pelajar, berkembang menjadi jumlahnya sekarang kepada 45 orang pelajar. Masyarakat Islam Australia memang dahagakan ilmu agama, cuma masalahnya di sana menurut Noryzal ialah masalah kekurangan imam untuk membantu mereka memimpin masyarakat dalam masalah agama dan institusi masjid.
Di antara tempat atau kawasan di dalam Australia yang memerlukan imam ialah di Rockingham (Perth), Adelaide, Darwin, Townsville (Queensland) dan Alice Spring.
Semuanya ini memerlukan imam muda yang sanggup berkhidmat selama setahun atau lebih dan mempunyai kemampuan untuk memimpin dan menyantuni masyarakat Islam di sana dengan baik dan berkesan.
Di sini disertakan sebuah coretan ringkas Noryzal yang kini berada nun jauh di negeri orang:
``Sepanjang berada di Australia, saya fikir Tasmania merupakan daerah yang terindah jika ingin dibandingkan dengan daerah-daerah lain yang pernah saya kunjungi.
Panoramanya yang mempesona dengan suasana persekitarannya yang nyaman, benar-benar menenangkan.
Namun, kehadiran saya ke sini bukanlah untuk tujuan menilai keindahan pribuminya, tetapi meneruskan misi dakwah ke atas diri yang masih dalam usaha mencari diri sendiri. Jauh perjalanan, luas pemandangan. Banyak yang baru saya pelajari sewaktu berada di sini.
Sememangnya Allah itu Ar-Rahman dan Ar-Rahim. Saya mula menjejakkan kaki ke bumi Tasmania pada 1 Januari 2005, jam 8 pagi.
Disambut
Ketibaan saya disambut oleh Presiden Tasmanian Muslim Association (TMA), merangkap Imam Masjid Hobart, Sabri Samson.
Kali pertama saya bertemu dengannya sewaktu menghadiri suatu persidangan di Sydney.
Beliau merupakan bekas pelajar sekolah Alam Shah dan berhijrah ke Tasmania sebagai pelajar. Beliau juga merupakan pelajar yang terpilih sewaktu kerajaan melancarkan Colombo Plan untuk para pelajar dari Malaysia.
Setelah menamatkan pengajiannya di peringkat sarjana, beliau terus bekerja menjadi guru sekolah di sini dan kini sudah pun bersara. Beliau berasal dari Sijangkang, Klang.
Setelah menetap di rumahnya selama tiga hari, saya menumpang selama sebulan di sebuah rumah penduduk tempatan yang bersebelahan dengan masjid.
Keluarga tersebut berasal dari Sudan. Saya dikenalkan dengan seorang pelajar dari Malaysia yang menjadi teman rapat saya sepanjang berada di sini dan beliau merupakan Presiden Mascar ( Malaysian Student Council of Australia ).
Saya kemudiannya berpindah ke sebuah bekas bilik operasi kontraktor binaan yang kemudiannya menjadi setor masjid.
Setelah berada di situ selama sebulan, saya kemudiannya berpindah ke rumah sewa yang lebih selesa.
Perjalanan dakwah di sini masih dalam peringkat awal. Tidak banyak yang dapat saya lakukan. Namun walaupun begitu, cabarannya tetap ada. Di sini saya berhadapan dengan masyarakat yang berasal daripada pelbagai latar belakang dan mempunyai kefahaman agama yang pelbagai.
Kali pertama saya diuji ketika ingin menyambut Aidil Adha. Saya diminta untuk menyelesaikan masalah penetapan tarikh Hari Raya Korban pada tahun ini.
Sebenarnya, tarikh untuk menyambut Aidil Adha telah pun ditetapkan oleh imam tempatan pada hari Jumaat, bersamaan 10 Zulhijjah.
Namun disebabkan Kerajaan Arab Saudi pula menetapkan Hari Arafah pada 9 Zulhijjah, maka ada segelintir ahli masyarakat yang meminta supaya imam tempatan mengubah tarikh mengikut keputusan Kerajaan Arab Saudi.''
Demikian secebis pengalaman menarik beliau di sana. Kita berharap agar lebih ramai anak muda mengikuti jejak langkah beliau yang sanggup berkorban dan berjuang di jalan Allah demi memastikan umat Nabi Muhammad s.a.w. ini merasai nikmat dan manisnya ajaran agama yang suci ini.
Beliau bercita-cita untuk terus menetap di sana seperti mana yang dilakukan oleh pendakwah-pendakwah Islam sebelum ini, yang menetap dan berkahwin dengan penduduk setempat demi memastikan ajaran Islam berkembang ke setiap inci tanah bumi Allah ini. Amin.
pada aku..setiap kite ni dah dideclare as daie sebenarnya.tak perlu sampai dihantar ke tasmania,mauritius,fukuoka,uzbekistan atau mana2 je pelosok dunia.. yang pentingnya, di mana bumi dipijak..selagi tanggungjawab menyebarkan agama allah kita laksanakan, kita still jadi pendakwah..
alhamdulillah..sbg contoh..membe kita sorang tu dah dihantar Allah melalui perantaraan Abim, dll.. ke tasmania tu..
di tempat kita sendiri sebenarnye byk lagi keje2 kita sbg daie yg belum terlaksana..langkah dan cara nak laksanakan tu tak perlu rasenye aku nak tulis panjang lebar kat sini.sbb? sbg daie kita sendiri kena kreatif.cara mendekati sahabat2 tu terlalu subjektif.tak boleh disamakan dengan setiap individu.
bagi membe2 yang dihantar ke oversea, grab the chance..ade 2 tugas sebenarnye..study n dakwah.. dakwah tu sebenarnye life-style..cara hidup! bukan dgn becakap saja.bagi tazkirah..ckp gegar2..tp praktik..yillek!!.. islam aplikasinya bukan hanya becakap.tp just salah satu method bedakwah tu ialah dgn becakap.. ad-dakwah billisaan..
jadinya..praktiklah islam yang indah tu dalam diri masing2..insya allah makin2 la indah hidup kita.makin2 la cun melecun wajah dan penampilan kita ni..disinari cahaya islam.moga dengan praktik dan penghayatan islam yang ada pada diri kita menjadi dakwah terbaik untuk masyarakat sekeliling..